Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO membidas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan tidak ada sebarang kesalahan dalam penganugerahan kontrak Kerajaan Negeri Selangor kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang diterajui suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zakarshi berkata, SPRM mendakwa penganugerahan kontrak itu tidak perlu isiasat walaupun bukan melalui tender terbuka.

“Ohh begitu….Persoalannya kenapa dalam kes feedlot dulu, Tan Sri Shahrizat disiasat?,” soalnya.

Dan, tambahnya, akhirnya mahkamah membuktikan keluarga beliau mangsa fitnah selama 12 tahun.

Media sebelum ini melaporkan, Asia Mobility merupakan salah sebuah syarikat pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) yang dilantik oleh Kerajaan Selangor.

Pengguna aplikasi X @RakyatAduan mempersoal mengenai pelantikan Asia Mobility susulan dakwaan syarikat itu dimiliki suami Hannah, Ramachandran Muniandy yang menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif selain persoalan sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka.

Pada Jumaat, Exco Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata, Asia Mobility dan Badan Bas Coach telah dipilih menjalankan sistem pengangkutan awam bagi batuan pertama dan terakhir di negeri itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pembentangan kepada jawatankuasa pengangkutan negeri dan berdasarkan pengalaman mereka melaksanakan konsep itu. – MalaysiaGazette

Tiada kesalahan Selangor beri tender kepada syarikat suami Hannah – Azam