Penerima Biasiswa Khazanah di Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2023.

KUALA LUMPUR – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa untuk memohon program Biasiswa Khazanah oleh Yayasan Khazanah, di mana permohonan untuk Biasiswa Khazanah Global (A-Level), Khazanah Watan (Asasi) dan Wakalah PayNet-Yayasan Khazanah (Asasi) dibuka sehingga 5 Jun 2024.

Yayasan Khazanah, yang merupakan rakan strategik Yayasan Hasanah, telah diamanahkan untuk memupuk dan menyokong individu luar biasa yang akan memangku peranan kepimpinan dalam organisasi terkemuka negara, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia.

Program biasiswa Khazanah bukan sahaja menawarkan pembiayaan untuk perbelanjaan pendidikan tetapi juga mengasah pembangunan diri khususnya dalam bidang kepimpinan.

Pada tahun 2023, Yayasan Khazanah telah menganugerahkan 115 biasiswa kepada para individu luar biasa di Malaysia serta 200 geran pengajian untuk pelajar sekolah menengah. Justeru, ia menjadikan jumlah keseluruhan Biasiswa Khazanah yang dianugerahkan sebanyak 1,495 sejak 2006.

Para pemohon mesti memiliki kemahiran kepimpinan yang kukuh dan penyertaan aktif dalam aktiviti kokurikulum, sosial atau sukarela, di samping mempunyai rekod pencapaian akademik yang konsisten dan cemerlang.

Untuk maklumat lanjut tentang kriteria kelayakan dan memohon Biasiswa Khazanah, layari www.yayasankhazanah.com.my. – MalaysiaGazette