Datin Hakimah Mohd Yusoff (kiri) ketika berucap pada acara penutup Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran Kebangsaan 2024 di Kuantan pada malam tadi

KUANTAN – Semua peserta tilawah al-Quran pada peringkat kebangsaan kali ini diuji kemampuan dengan ayat-ayat pilihan yang bukan merupakan kelaziman dalam pertandingan dan persembahan bacaan Al-Quran.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata, tahap kesukaran juga boleh dilihat apabila terdapat peserta diuji kebolehan mereka menyusun bacaan dan tarannum bagi ayat-ayat yang menemukan dua surah.

“Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini jawatankuasa penghakiman sentiasa membuat penambahbaikan dalam pengujian dan penghakiman bagi meningkatkan kualiti bacaan dan persembahan peserta.

“Ini bagi memastikan tahap keupayaan peserta di peringkat kebangsaan setanding dan mampu bersaing di arena antarabangsa.

“Secara keseluruhan, jemaah hakim mendapati peserta telah menunjukkan kesungguhan dan mampu menyahut cabaran ini dalam membuat persembahan dan bacaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Tilawah Dan Hafazan Al Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2024 di Auditorium Darul Makmur Jabatan Penyiaran Pahang, Kuantan, Pahang malam tadi.

Walau bagaimanapun, juri juga berpandangan beberapa penambahbaikan perlu diberi perhatian yang serius oleh peserta dan guru pembimbing.

Hakimah berkata, dalam bidang tajwid dan fasohah, jemaah hakim mendapati peningkatan penguasaan peserta walaupun telah diberi cabaran yang baharu.

Namun jelasnya, kesalahan-kesalahan biasa dalam hukum mad, waqf dan ibtida’ perlu terus diberi perhatian serius.

Selain itu, para peserta perlu meningkatkan lagi kualiti kawalan suara di mana hampir keseluruhan peserta didapati kurang mampu mengawal dan menyusun gaya suara dengan baik mengikut kesesuaian lagu yang dialunkan.

Pengawalan suara merupakan aspek yang sangat penting diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan terhadap keupayaan penguasaan peserta dalam bidang-bidang penghakiman yang lain iaitu tajwid, tarannum dan fasohah.

Bagi bidang tarannum ramai peserta dalam golongan muda yang berpotensi dan boleh digilap bakat dan kemampuan melalui latihan yang berstruktur.

Manakala kreativiti peserta juga terserlah apabila terdapat peserta yang cuba membuat pembaharuan dan kelainan dalam bacaan serta persembahan mereka hasil daripada pengaruh bacaan qari-qari yang masyhur.

”Kreativiti yang baik ini, tidak akan dapat dimanfaatkan sekiranya peserta tidak mampu menilai keupayaan diri masing-masing tanpa bimbingan yang tepat.

”Peserta hendaklah meneruskan amalan berguru secara Talaqqi Musyafahah bagi memastikan mereka menerima bimbingan yang tepat dan sesuai dengan kemampuan untuk menguasai teknik bacaan yang baik dan betul,” katanya.

MTHQK 2024 kali ini membariskan seramai 26 orang hakim yang terdiri daripada 12 orang bagi mengadili Kategori Tilawah Al-Quran, dan 14 orang bagi Kategori Hafazan al-Quran yang diamanahkan mengikut bidang masing-masing.

Mereka terdiri daripada pakar dan ilmuwan yang berkemahiran tinggi serta berpengalaman, khususnya dalam bidang al-Quran di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast