GEORGE TOWN – Penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat Rokok (GEG) penting bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak dan belia terjebak serta ketagihan nikotin.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, ini kerana pengharaman vape atau rokok elektronik tidak mampu menyelamatkan generasi masa depan daripada pengambilan nikotin.
“Kebanyakan produk vape termasuk nikotin berikan ketagihan dengan cecair toksik serta penyebab kerosakan pada paru-paru.
“GEG adalah penyelamat nyawa kanak-kanak dan belia seiring dengan keperluan negara terhadap generasi masa depan yang sihat.
“Semakin lama kerajaan berlengah, kita akan lihat lebih ramai kanak-kanak dan belia yang ketagih nikotin,” katanya.
Menurut beliau, aduan yang diterima CAP mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap anak ketagihan vape dan rokok elektronik amat menakutkan.
“Ketika beberapa penganjuran program, guru disiplin juga turut meluahkan kesal kerana murid perempuan seawal usia sekolah rendah sudah tidak takut dan malu bagi mengambil vape di kawasan awam.
“Mereka mendapat maklumat bahawa bahan itu mudah diperoleh menerusi pembelian dalam talian dengan pelbagai perisa buah-buahan sekali gus berharap supaya kerajaan segera mengharamkan segala kaedah penjualannya.
“Kempen haramkan rokok dan vape pada hari ini tidak cukup, perlu ada poster atau gambar yang menunjukkan keburukan serta kesan sebenar daripada pengambilannya,” katanya.
Tambah Subbarow, kajian CAP setakat Mei tahun lalu mendapati seramai 3,000 daripada 5,000 pelajar seluruh negara termasuk kolej, IPT mengaku menghisap vape dan 75 peratus daripada mereka bukanlah perokok. – MalaysiaGazette