SHAH ALAM – Seorang Penolong Kanan Pengarah Kastam mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan seorang pembantu penguasa jabatan tersebut melupuskan sisik tenggiling pada 2019.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen hari ini, Ahmad Hilmi Ghazali 51 tahun antara September hingga Disember tahun itu dalam daerah Klang, Selangor dengan curang menyebabkan  Mohd Aliff  Omar melupuskan sisik tenggiling dari jenis Genus Manis spp daripada stor Penguatkuasaan Pengkalan Marin, Pelabuhan Klang Utara.

Spesis tersebut merupakan barang kes rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan perlu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Beliau didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Jika disabit kesalahan, Ahmad Hilmi boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun selain sebatan atau denda.

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian mengarahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM20,000.

Beliau turut diperintah melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang sebulan sekali selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Dalam masa sama, Ahmad Hilmi juga dilarang menghubungi saksi pendakwaan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Wan Azreen Wan Zaid memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Nor Azri Mohd Arif merayu supaya mahkamah mengurangkan jaminan.

Katanya, anak guamnya perlu menanggung dua isteri dan enam orang. – MalaysiaGazette