Erik ten Hag. Foto Ben Stansall/AFP
LONDON – Erik ten Hag menggesa Manchester United segera membuat keputusan berhubung masa depannya kerana dia ingin mendapatkan kepastian berhubung peluang menjadi pengurus kelab tersebut pada musim depan.
The Times melaporkan bahawa pengurus kelahiran Belanda itu menanti dengan penuh sabar untuk mendapatkan maklumat mengenai masa depannya di Old Trafford.
Dia juga dilaporkan tidak mahu menghabiskan masa yang lama untuk menunggu keputusan ini yang mana pengurus itu bersedia untuk mencari kelab lain jika terpaksa meninggalkan Old Trafford selepas melalui proses penilaian prestasi.
Ketika ini, United dilaporkan akan menilai prestasi Ten Hag dalam dua musim terakhir yang mana selepas dia memenangi Piala Carabao dan Piala FA pada musim 2022/23 dan 2023/24 tetapi kegagalan dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara memberi kesan buruk.
Masa depan Ten Hag menjadi persoalan selepas membelanjakan dana yang besar untuk membawa masuk pemain baharu namun beberapa pemain yang disyorkan seperti Antony dan Andre Onana tidak menunjukkan prestasi yang konsisten.
Kemerosotan prestasi di barisan pertahanan juga mendapat perhatian tinggi selain masalah kecederaan yang melanda musim 2023/24 membuatkan kelab itu cuba mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengelak musibah pada musim-musim berikutnya.
Bagaimanapun, potensi pemecatan Ten Hag juga mempunyai komplikasi tersendiri iaitu bayaran pampasan yang perlu dibayar selepas mereka memenangi Piala FA dan layak ke Liga Europa.
Pengurusan United juga dilaporkan telah menghubungi Mauricio Pochettino dan Thomas Frank berhubung potensi untuk menggantikan Ten Hag selain terdapat beberapa calon lain yang akan menggantikannya.
Selain itu laporan dari Fabrizio Romano mendedahkan bahawa setakat ini United sedang berkomunikasi dengan beberapa ejen untuk pengurus yang berbeza di mana INEOS lebih memilih pengurus yang lebih sesuai dengan visi mereka.
Ada kemungkinan besar Ten Hag akan dipecat namun jika mereka gagal mencarinya, Ten Hag akan kekal sebagai pengurus United pada musim depan. – MalaysiaGazette