Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit filem, Datuk Afdlin Shauki kini menambah satu lagi ‘jawatan’ di dalam karier seninya sebagai penulis novel.

Ia selepas novel Papadom mula dipasarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Novel setebal 160 muka surat yang diterjemahkan daripada skrip filem arahannya, Papadom itu menjadi pilihan pertama Afdlin kerana kisah itu mempunyai nilai sentimental dan amat peribadi.

“Cerita Papadom ini saya tulis kerana sebagai seorang ayah, ada rasa kesal dalam diri saya kerana tidak dapat menjadi ayah yang terbaik dan saya mula berfikir tentang ciri-ciri ayah yang terbaik yang saya mahukan.

“Saadom melambangkan kebanyakan bapa di dunia ini yang mempunyai dilema yang sama. Bapa yang menyayangi keluarganya dan mahu memberikan kehidupan terbaik kepada keluarganya, jadi dia bekerja keras untuk keluarganya sehingga tak dapat meluangkan masa bersama keluarga yang dicintai itu “ katanya pada PABKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia  Kuala Lumpur  hari ini.

Afdlin menambah, tiadanya keseimbangan dalam kehidupan adalah antara sebab utama permasalahan dalam keluarga.

Kata bapa kepada tiga anak ini , ia kerana selalunya manusia berubah bila ada satu insiden besar yang menyentap kehidupan mereka.

“Sewaktu bermain scrabble dengan isteri, saya merenung wajahnya dan bertanya pada diri ini, kalau sesuatu berlaku pada dirinya, apakah saya mampu untuk mengambil alih tugas sebagai ibu kepada anak anak?

“Persoalan itulah yang mencetus idea untuk saya hasilkan naskhah Papadom.

“Sebagai ibu bapa, kita tak dilahirkan dengan buku manual bagaimana nak menjadi ibu bapa yang baik, akan tetapi kita kena percaya yang Allah akan sentiasa ada bersama dengan kita dan memberi pengajaran yang terbaik bagi diri kita.

“Kita mesti berani melangkah masuk ke alam Papadom dan hadapi segala dugaan dan cabaran-Nya.

“Semoga buku ini memberi manfaat kepada bapa-bapa, ibu-ibu untuk mengenali perangai bapa-bapa dan untuk anak-anak, agar mereka tahu yang walau apapun berlaku mereka adalah permata yg yang ternilai di hati bapa mereka,” katanya.

Sementara itu, Papadom dijual pada harga RM19.90 bagi Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak pada harga RM22.90.

Buat masa ini, novel terbitan YWP Media Sdn Bhd ini hanya dijual di PBAKL 2024 dan bakal memasuki kedai-kedai buku seluruh negara.

Hanya 1,000 naskhah dikeluarkan bagi cetakan pertama.

“Kami juga merancang untuk menyertai acara-acara yang melibatkan pembukuan termasuk pesta buku di setiap negeri,” kata Afdlin yang juga Pengerusi YWP Media Sdn Bhd. – MalaysiaGazette