KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan menyambut Jubli Emas parti itu ke-50 dengan menganjurkan konvensyen peringkat kebangsaan sebagai acara kemuncak Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bulan depan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelbagai program dan agenda yang telah diatur bermula di Kelantan dan Johor akan mengadakan konvensyen pada 8 Julai diikuti Terengganu dan Pahang pada 15 Julai depan.
“Negeri lain juga akan mengadakan konvensyen yang akan diatur.
“BN juga akan menganjurkan beberapa siri wacana forum dan dialog awam di mana generasi muda dan kalangan pemikir akan diundang sebagai usaha mengukuhkan parti bagi dekad-dekad mendatang.
“Kita juga akan melancarkan dokumen kisah sejarah perjuangan BN,” katanya pada sidang media dan prapelancaran Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun BN ke-50 di sini hari ini.
Ketika ini, gabungan BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
BN dibentuk oleh Abdul Razak pada 1 Jun 1974 yang merupakan Perdana Menteri serta Presiden UMNO ketika itu. – MalaysiaGazette