PETALING JAYA – Pemandu sebuah kenderaan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh kawasan parkir sebuah gereja di Jalan SS 25/23 dekat Taman Plaza di sini pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussein Sollehuddin Zolkifly berkata, siasatan awal mendapati kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.46 malam pada 1 Jun lalu.
“Polis mendapati, kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 30-an sedang dalam perjalanan dari Subang Jaya menuju ke Kelana Jaya.
“Berdasarkan keterangan awal, individu yang memandu kereta tu menyatakan bahawa dia tersalah jalan dan secara tiba-tiba kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Hussein Sollehuddin, kemalangan berlaku hanya melibatkan kerosakan harta benda dan tidak melibatkan individu atau kecederaan nyawa.
Pemeriksaan juga mendapati pemandu SUV itu turut mengalami kecederaan ringan dalam insiden itu dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan lanjut.
“Polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan sedang mengesan saksi bebas kejadian itu bagi boleh membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut.
“Kita juga mengambil sampel darah pemandu SUV itu dan diserahkan ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol dan dadah.
“Hasil siasatan lanjut polis juga mendapati kejadian ini tidak melibatkan sebarang unsur sabotaj atau khianat terhadap mana-mana pihak,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette