GEORGE TOWN – Trend mengadakan majlis bagi meraikan perceraian merupakan budaya asing yang bertentangan dengan tradisi dan semesta masyarakat timur,” tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Jelas beliau, tindakan sedemikian bertentangan dengan saranan agama Islam seperti yang disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud: Janganlah kamu melupai kelebihan (kebaikan) antara sesama kamu. (Surah al-Baqarah: 237).
“Ayat ini berkaitan perceraian yang berlaku sebelum menjalani kehidupan selaku pasangan suami isteri, apatah lagi telah hidup bersama bertahun-tahun lamanya dan sudah mempunyai anak-anak.
“Tradisi masyarakat Islam dan masyarakat timur menganggap institusi kekeluargaan sebagai benteng yang aman bagi pasangan hidup walaupun kadang-kala berlaku sengketa antara mereka.
“Justeru, Allah SWT menjadikan perkahwinan sebagai salah satu tanda keagunganNya. Firman Allah bermaksud: “Dan antara tanda-tanda-NYA, Dia menjadikan untuk kamu pasangan dalam kalangan kamu sendiri (manusia) supaya kamu berasa tenteram (berada) di sampingnya dan dijadikan antara kamu (perasaan) mesra dan kasihan belas. (Surah ar-Rum: 21),” katanya mengulas mengenai trend meraikan perceraian suami isteri dengan mengadakan majlis bersama rakan-rakan.
Mengulas lanjut Wan Salim berkata, masyarakat Islam sepatutnya melihat perceraian sebagai satu ‘tragedi’ keruntuhan sebuah rumah tangga yang tidak menggembirakan.
Katanya, masyarakat perlu menyedari bahawa mangsa dan beban perceraian akan ditanggung oleh bekas isteri dan anak-anak, sedangkan lelaki atau bekas suami akan memulakan kehidupan baharu.
“Segala beban tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak dan mendidik mereka ditinggalkan kepada bekas isteri.
“Kita menghormati perasaan wanita yang menghadapi penganiayaan suami yang tidak bertanggungjawab dan terpaksa menempuh hidup berumahtangga yang getir.
“Namun, kita menolak tindakan saling tuduh-menuduh dan selar-menyelar antara pasangan terbabit setelah bercerai,” katanya.
Tambah beliau, Islam menghalalkan perceraian sebagai satu penyelesaian terbaik bagi kegawatan yang mustahil dapat diselesaikan, namun ia adalah perkara halal paling dibenci Allah.
“Ini kerana perceraian menyebabkan kemudaratan terhadap anggota-anggota keluarga terutama anak-anak yang akan terbiar dan menjalani kehidupan yang gelap pada masa hadapan.
“Akhirnya, saya mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil langkah melalui penggubalan undang-undang bagi mencegah tindakan meraikan perceraian dan tidak dibudayakan dalam masyarakat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette