Sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau, Sabah disyaki gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa, jam 3.40 petang semalam

KUALA LUMPUR – Sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas  gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa, jam 3.40 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, melalui maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah berjaya memintas bot kargo tersebut yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu mendapati, seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun bertindak selaku juragan bot mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati juragan yang membawa muatan 500 kilogram beras tempatan, 500 kilogram beras siam, 48 kilogram gula pasir berpaket dan empat gelen minyak petrol anggaran 120 liter itu gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barangan yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau, Sabah.

Susulan itu, bot kargo bersama nakhoda terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk muatan dan bot itu dianggarkan sekitar RM55,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).

Tambah Shahrizan, pihaknya juga akan menjalankan siasatan cubaan menyeludup ke negara jiran berikutan kuantiti muatan yang dibawa adalah kuantiti dagangan.

“Pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten ini juga dijadikan medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak berulang lagi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera. – MalaysiaGazette