Saifuddin menghadiri Program Lawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ke Penjara Seberang Perai hari ini.

JAWI – Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing ke negara ini menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 termasuk Bangladesh yang telah berakhir pada 31 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia susulan tempoh yang diberikan kerajaan adalah munasabah untuk menguruskan segala prosedur pekerja asing.

“Mengenai pengumuman tarikh akhir untuk membawa masuk pekerja asing telahpun dihebahkan lebih awal dan kita juga telah mengambil kira semua proses bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa serta tiket sebelum menetapkan tarikh akhir iaitu 31 Mei.

“Ternyata apabila baru-baru ini, jumlah kemasukkan pekerja asing lebih 20,000 dalam tempoh empat hari sejak 28 Mei hingga 31 Mei lalu. Malah, apabila kita semak, antara pekerja asing yang masuk itu telah mendapat kelulusan visa itu sejak bulan 11 tahun lepas jadi isunya kenapa tunggu sampai 31 Mei.

Saifuddin.

“Kalau majikan betul-betul memerlukan pekerja untuk kait buah di ladang, visa dah lulus, dapatkan tiket bawa masuklah pekerja itu. Kenapa mesti tunggu sampai gap yang begitu lama? Jadi, 31 Mei itu adalah tempoh yang munasabah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menghadiri Program Lawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ke Penjara Seberang Perai di sini.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, mengikut unjuran jumlah kemasukan lebih 20,000 baru-baru ini, negara akan mempunyai lebih 2.6 juta pekerja asing menjelang Disember nanti dan ia melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu 2.5 juta pekerja asing.

“Kemasukan pekerja asing telah mencecah sasaran keperluan tenaga asing bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.

“Manakala bagi sektor perladangan dan pertanian, kerajaan akan memproses mengikut kelulusan kuota yang sedia ada buat masa ini tanpa melibatkan kelulusan baharu dan berdasarkan kes.

“Sehubungan itu, kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh membawa masuk pekerja asing,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan agensi pengambilan pekerja Bangladesh menggesa kerajaan melanjutkan tarikh akhir kemasukan pekerja asing dari Bangladesh lagi dua bulan, bagi membolehkan pekerja yang telah diluluskan masuk ke Malaysia.

Ia susulan agensi tersebut mendakwa seramai 31,701 warga Bangladesh telah mendapat kelulusan untuk bekerja di Malaysia, tetapi tidak dapat sampai ke negara ini susulan menjelang tarikh akhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast