Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa. Renaissance Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengutamakan pelaburan dalam ekonomi perak untuk membina infrastruktur dan mencetuskan inovasi dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik bagi membolehkan penuaan aktif yang sihat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meningkatkan ketersediaan dan kemampuan peranti teknologi daripada teknologi rumah pintar kepada peranti boleh pakai yang dapat membantu mengesan penanda kesihatan boleh membantu warga emas di menjalani kehidupan persaraan yang lebih sihat.

“Peningkatan dalam teknologi kebolehcapaian, yang boleh mengatasi kemerosotan dalam mobiliti, pendengaran atau penglihatan, malah boleh meningkatkan produktiviti warga emas di tempat kerja membolehkan mereka menyumbang kepada tenaga kerja untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap padac majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Sosial 2024 (ISWC 2024), di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia perlu mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur yang kondusif kepada penuaan aktif.

“Dengan memperuntukkan sumber ke arah ini, Malaysia boleh meletakkan dirinya untuk memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat. Dianggarkan berjumlah AS$15 trilion (RM70.2 trilion), didorong oleh keperluan dan keutamaan asas pengguna yang semakin tua.

“Pelaburan sebegini bukan sahaja menjanjikan pulangan yang besar tetapi, juga menekankan komitmen Malaysia untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduknya yang semakin tua sambil memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara,” ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, persediaan untuk negara yang semakin tua memerlukan pendekatan seluruh negara bagi meningkatkan warga Malaysia dan warga dunia yang lebih berusia.

Beliau berkata, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menerajui pelaburan dalam usaha niaga yang disasarkan untuk membangunkan ekonomi perak di Malaysia.

“Saya mengharapkan lebih banyak penglibatan daripada sektor swasta dalam membangunkan produk dan penyelesaian dalam bidang ini supaya kita tidak ketinggalan dalam perlumbaan,” katanya.

Persidangan ISWC  2024 yang berlangsung selama dua hari dianjurkan oleh KWSP dengan tema “Penuaan dan Awet Muda: Ke Arah Persaraan Bermakna” untuk membincangkan pelbagai isu dan cabaran sekitar penuaan dan persaraan dengan perhatian khusus diberikan untuk memastikan jaminan pendapatan persaraan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast