KUALA LUMPUR – Lima orang termasuk dua kanak-kanak melalui detik cemas selepas kenderaan yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Kapar, Batu 6, Klang selepas hujan lebat hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan kecemasan dari orang awam mengenai insiden itu sekitar 3.10 petang.
Bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan enam anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan anggota di lokasi kejadian mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap dua buah kenderaan jenis Toyota Altis dan Perodua Bezza.
“Dalam insiden itu, terdapat tiga orang dewasa terdiri daripada dua lelaki berusia 30 dan 40-an, seorang wanita 40-an serta dua kanak-kanak semasa kenderaan mereka dihempap pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian itu.
“Kesemua mangsa bernasib baik kerana terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam insiden tersebut,” katanya.
Sementara itu, kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap dua kenderaan itu dilakukan oleh pihak bomba. – MalaysiaGazette