KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap anak saya atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 adalah perancangan lapuk oleh kerajaan, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Tak dapat tanduk, telinga dipulas. Pendakwaan terbaharu ke atas anak saya adalah siri perancangan pembunuhan karakter politik yang sebenarnya ditujukan kepada saya sebagai Ketua Pembangkang.
“Ia setelah segala usaha Kerajaan PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperalatkan pelbagai agensi kerajaan bagi mencipta naratif, persepsi serta mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pemimpin Bersatu termasuk saya gagal,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hamzah berkata demikian merujuk kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengheret anaknya, Muhammad Faisal atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 untuk menggunakan pengaruhnya bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat teknologi enam tahun lalu.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, pertuduhan itu juga adalah disifatkan usaha terdesak kerajaan untuk menutup mulut para pengkritik dengan menyasarkan pemimpin Perikatan Nasional dan ahli keluarga mereka.
“Saya percaya akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan kezaliman,” katanya.
Muhammad Faisal hari ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM100,000 daripada seorang individu sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimilikinya.
Dua syarikat itu dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan tender Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pejabat di pusat beli-belah di Jalan Dutamas 1 pada Mac 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Muhammad Faisal. 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mahkamah turut menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Anak Hamzah Zainuddin mengaku tak bersalah terima rasuah RM100,000