KUALA LUMPUR – Anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Muhammad Faisal Hamzah memohon dibicarakan sejurus selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Faisal didakwa telah menerima wang RM100,000 daripada Izmir Abd Hamid sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.
Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.
Jika sabit kesalahan yang mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, Orang Kena Tahan (OKT) boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah, atau RM10,000.
Rozina membenarkan Faisal dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut.
Pada April tahun lepas, Muhammad Faisal mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban. -MalaysiaGazette