KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mempelawa penyertaan mana-mana pelabur untuk membina Centralised Labour Quarters (CLQ) atau penginapan pekerja berpusat di negeri ini bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pekerja tempatan atau pekerja asing.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, pihaknya menyokong penuh individu atau pun syarikat yang berminat menjalinkan kerjasama untuk membina penempatan tersebut memandangkan kos pembinaan tersebut agak tinggi.

Tambah beliau, penyediaan penginapan pekerja berpusat itu selaras pelaksanaannya berdasarkan peruntukan Akta Standard Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang berfungsi menjaga kebajikan golongan itu.
”Kita perlu mejaga keselamatan pekejera di seluruh negeri Pahang, kita belum ada penginapan pekerja berpusat secara menyeluruh di negeri ini seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang untuk menempatkan tempat tinggal kepada pekerja.
”Mana-mana yang nak melabur kami uruskan dan bina di mana-mana tempat yang sesuai yang ada tanah atau pun bangunan terbengkalai.
”Pengusaha yang ada pekerja boleh menginap boleh hantar pekerja menginap pusat berkenaan, kita kumpulkan sekali untuk mudah uruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di selepas menyerahkan Sijil Perakuan dan Penginapan kepada 13 buah syarikat majikan yang telah mendapat kelulusan permohonan perakuan penginapan daripada JabatanTenaga Kerja (JTK) Pahang di sini hari ini.
Program berkenaan dihadiri oleh 81 peserta terdiri daripada 31 buah syarikat majikan di sekitar Kuantan yang menyediakan penginapan dan kemudahan kepada pekerja-pekerja mereka.
Para peserta turut dibawa melawat di sekitar penginapan pekerja-pekerja syarikat China Communications Construction Sdn Bhd untuk dijadikan contoh rujukan kepada majikan dan pekerja.
Menurut Chon Siang, majikan perlulah bertanggungjawab dalam memastikan aspek kebajikan dan keselamatan serta keselesaan mereka terjaga kerana golongan pekerja merupakan manusia.
Para majikan juga perlu mematuhi garis panduan yang disediakan bagi mengelakkan berdepan dengan tindakan undang-undang.
Antara faktor yang diambil kira seperti kadar penggnaan ruang, keluasan bilik, ketebalan saiz tilam, almari berkunci yang berfungsi dengan baik serta lain-lain.
Lebih utama majikan perlu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan mendapat sijil kelulusan daripada JKT dalam menyediakan penempatan berkenaan.
”Antara perkara yang perlu dipatuhi ialah menyediakan tempat tinggal sekurang-kurangnya seluas 3.6 meter persegi, tilam setebal 4 inci, jadi kalau majikan sediakan tilam tiga inci boleh kena saman dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
”Mesti sediakan almari berkunci kalau ada almari tanpa kunci itu juga bercanggah dengan akta. Kalau dalam sebuah kontena hanya boleh memuatkan lima orang,” katanya.
Sementara itu, JTK Pahang merekodkan sebanyak 11 kompaun telah dikeluarkan kepada majikan yang tidak patuh terhadap Akta 446 manakala sebanyak tujuh operasi telah dijalankan pihaknya sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Akta 446 memperuntukkan semua penginapan atau penginapan berpusat yang disediakan perlulah mendapat perakuan penginapan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja melalui permohonan perakuan penginapan di Pejabat Tenaga Kerja yang berada di dalam kawasan alamat penginapan.
Kegagalan mana-mana majikan yang gagal memperolehi Perakuan Penginapan tersebut apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000.
Manakala kegagalan bagi mana-mana penyedia penginapan berpusat apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















