KUALA LUMPUR – Seramai tujuh individu, termasuk tiga pegawai agensi penguat kuasa, direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang, Selangor.

Sumber memberitahu, suspek yang terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun diberkas menerusi Ops Transit yang dilaksanakan di sekitar Pelabuhan Klang, semalam.

Selain tiga pegawai agensi penguatkuasa, turut ditahan ialah pengarah serta tiga pekerja syarikat terbabit.

Wanita dan pegawai agensi penguatkuasa antara 7 direman disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barang import ketirisan cukai RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang oleh SPRM.Ihsan foto SPRM Putrajaya

Majistret Irza Zulaikah Rohanuddin membenarkan kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga ini.

“Siasatan mendapati sindiket ini dipercayai telah membuat pengisytiharan palsu dalam Borang Kastam bagi mengelakkan dikenakan cukai dan pengimportan barangan yang memerlukan permit import beberapa agensi seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Dalang sindiket ini merupakan seorang warga Singapura dan suspek kini masih berada di luar negara kerana bercuti bersama keluarga,” katanya.

Menurut sumber itu, menerusi tangkapan itu, suruhanjaya tersebut telah membekukan sembilan akaun bank milik syarikat dan individu terbabit.

Katanya, hasil operasi yang dijalankan oleh SPRM bersama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) pada Rabu lalu membawa kepada penahanan 19 buah kontena yang mengandungi pelbagai barangan import.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati sebanyak lima buah kontena mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi yang diproses.

Tambah beliau, kesemua kontena itu telah diisytiharkan sebagai barangan import termasuk kerusi roda (wheel chair), tekstil dan jamban duduk (commodes) bagi mengelakkan cukai.

Wanita dan pegawai agensi penguatkuasa antara 7 direman disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barang import ketirisan cukai RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang oleh SPRM.Ihsan foto SPRM Putrajaya

Sumber berkata, anggaran kasar nilai 19 kontena yang ditahan termasuk cukai berjumlah kira-kira RM10 juta.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek tersebut.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 dan siasatan dilakukan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001. – MalaysiaGazette