Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota malam ini hadir bersama amanah yang berat dengan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan di Nenggiri dan Mahkota bukan asbab untuk gabungan parti itu mendabik dada, jauh sekali untuk berasa megah dan selesa.

“Sebaliknya, ia adalah isyarat yang jelas dari rakyat bahawa kami harus berusaha lebih kuat untuk memberikan yang terbaik demi kehidupan yang lebih sempurna di masa akan datang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Pada PRK itu, Syed Hussien memperoleh 27,995 undi  menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Kemenangan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di Kluang, Johor pukul 9.10 malam.

Menurut Ahmad Zahid, BN akan terus memperbaiki haluan perjuangannya bagi menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan untuk UMNO dan BN, Kerajaan Perpaduan dan seluruh rakyat Malaysia.

Tambah beliau, kemenangan itu juga adalah legasi jasa Allahyarhamah Sharifah Azizah yang telah mencurahkan seluruh jiwa raga kepada DUN Mahkota.

“Jasanya kekal dalam ingatan dan menjadi sumber aspirasi kami untuk terus berkhidmat menyantuni rakyat di DUN ini,” ujarnya.

Bagi Syed Hussien, Ahmad Zahid mengingatkan beliau bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota dan janji wajib ditepati dan buat yang terbaik untuk DUN Mahkota. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast