Kadet Sarjan Siti Fairuz Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kental hati wanita ini, walaupun terpaksa berpisah dengan dua anak demi mengejar cita-citanya namun ‘perpisahan’ sementara itu berbaloi apabila berjaya bergelar polis kadet sarjan dan menyarung uniform Sang Saka Biru.

Lebih manis Kadet Sarjan Siti Fairuz Abdullah, 32, diumumkan sebagai pelatih keseluruhan terbaik dalam kalangan 247 anggota yang bergraduan sebagai sarjan hari ini.

Bercakap selepas sesi perbarisan tamat Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), pengambilan khas pangkat Sarjan di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis Pulapol pagi tadi, anak kelahiran Bukit Mertajam Pulau Pinang itu berkata, dia mencapai cita-citanya dengan berkat doa dan sokongan suami serta keluarga selain barisan jurulatih serta pengajar Pulapol sepanjang sembilan bulan sejak September 2023.

“Latihan fizikal yang berat bukan satu halangan bagi dirinya namun terpaksa berjauhan dengan dua anak kecil berusia 9 dan 8 tahun merupakan satu cabaran paling utama.

“Namun di sebalik pengorbanan ini, yang jadi luar jangkaan serta kejutan besar untuk saya hari ini adalah apabila diumumkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan bagi pengambilan sarjan percubaan Bil.1 Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini,” katanya.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf di Pusat Latihan Polis( Pulapol) Kuala Lumpur.

Siti juga menambah, pencapaiannya sebagai pelatih keseluruhan terbaik adalah suatu yang tidak dijangkakan langsung.

“Saya kira ini satu pencapaian membanggakan kerana saya merupakan seorang pelatih wanita berjaya dipilih sebagai pelatih keseluruhan terbaik.

“Saya tidak sangka diangkat sebagai pelatih terbaik keseluruhan kerana tidak pernah meletakkan sebarang sasaran dan hanya memberikan komitmen 100 peratus dalam latihan sepanjang sembilan bulan lalu.

“Saya tanam minat sebagai anggota polis sejak kecil kerana bapa saya juga seorang pegawai polis, Alhamdulillah saya berjaya menyarung uniform Sang Saka Biru Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata bekas graduan Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Azlan Shah itu lagi.-MalaysiaGazette