KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan beliau masih belum menerima notis rasmi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimennya yang digugurkan keahlian.
Enam Ahli Parlimen Bersatu itu digugurkan keahlian parti selepas memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Menurut Johari, pihaknya perlu masa masa untuk meneliti semua khasnya yang melibatkan undang-undang termasuk Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) sebelum mengambil sebarang keputusan.
Kata Johari, beliau perlu berhati-hati dalam membuat sebarang pernilaian dalam semua aspek sebelum keputusan berkaitan isu ‘panas’ ini dapat keputusan muktamad.
“Buat masa ini belum ada apa-apa notis rasmi dihantar. Saya belum terima apa-apa secara hitam putih. Tindakan yang diambil oleh parti berkenaan terhadap ahli mereka, itu luar bidang kuasa saya.
“Saya ambil sikap mereka mungkin ahli parti, tetapi apabila mereka mengangkat sumpah di depan saya untuk menjunjung Perlembagaan dan taat setia kepada Malaysia di hadapan saya, jadi saya harus bertanggungjawab pertahankan kebebasan dan hak Parlimen,” katanya kepada media.
Difahamkan, Johari kini dalam rangka lawatan rasmi lima hari bersama delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun bermula Isnin atas undangan Speaker Dewan Perwakilan Jepun, Fukushiro Nukaga. – MalaysiaGazette