Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika melawat tapak pameran sempena Hari Terbuka BUDI-MADANI Agri-Komoditi di MARDI Klang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 JUN 2024.

KLANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memberi jaminan semua petani dan pekebun kecil yang menggunakan kenderaan berkaitan pertanian layak menerima subsidi bersasar menerusi Budi Agri-Komoditi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata,

pihaknya akan membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mereka layak menerima bantuan itu.

“Mereka yang terlibat dengan pertanian termasuk menggunakan lori nak bawa padi ke kilang dan kenderaan lain yang membawa ikan serta hasil pertanian, semuanya akan dapat.

“Sudah tentu pihak pegawai akan membuat pemeriksaan tetapi secara umumnya sebarang kenderaan yang terlibat dengan pertanian akan mendapat subsidi bersasar ini,” katanya pada sidang media di pejabat Mardi Klang, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah hadir ke Hari Terbuka Budi Agri-Komoditi Mardi.

Beliau dan Amir sempat meluangkan masa kira-kira sejam 30 minit melakukan sesi libat urus dengan kira-kira 150 petani dan pekebun kecil sekitar daerah Klang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai mengenai penggunaan peralatan pertanian seperti generator dan pam air, beliau berkata petani dan pekebun kecil juga layak menerima subsidi itu.

“Itu termasuk pam-pam air ke sawah dan sebagainya yang menggunakan diesel,” katanya.

Sementara itu, Amir pula berkata, jika perkara itu berbangkit, MAFS akan mengadakan perbincangan agar komoniti petani tidak tercicir daripada menerima bantuan itu.

“Perkara itu akan diuruskan melalui kementerian dan kita berbincang macam mana.

“Yang penting kita nak ingatkan ialah kita buat penyelarasan subsidi ini kerana kita nak mengurangkan ketirisan.

“Kalau kita bagi cara semua orang nak buat, kita kena pastikan sudah tiada lagi ketirisan berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast