Seorang pegawai LUAS membuat pemeriksaan terhadap air Sungai Gombak yang dikesan mengandungi bau seakan diesel dan berbuih, semalam. Gambar: Facebook LUAS

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan aliran berbuih disusuli bau seakan diesel, di sebuah tapak projek pembangunan dekat Sungai Gombak semalam.

Agensi itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, hal itu diketahui pukul 1 petang dan terus bergegas ke lokasi.

“Hasil semakan mendapati berlaku aktiviti pencucian jentera yang mana aliran cucian masuk ke longkang premis dan seterusnya kolam rawatan dan sungai berhampiran.

“Oleh itu, persampelan dilakukan di lokasi-lokasi berkaitan di premis terbabit dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut,” katanya.

Pada masa sama LUAS memaklumkan, semakan sepanjang hari turut dilakukan untuk mengenal pasti punca aliran berbuih yang dikesan.

“Sekitar 8 malam hari yang sama, aliran berbuih dikesan semula di Loji Rawatan Air (LRA) Gombak. LUAS kemudian melakukan pensampelan bagi mengenalpasti kandungannya.

“Keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS bersama pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjalankan siasatan menjejaki punca aliran berbuih di hulu Sungai Gombak dan anak-anak sungai berkaitan,” tambahnya. – MalaysiaGazette