KUALA LUMPUR – Israel dan sekutu rapatnya Amerika Syarikat (AS) perlu bertanggungjawab terhadap pembunuhan 274 rakyat Palestin dan mencederakan 700 di Kem Nuseirat.
Menurut Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Nurul Izzah Anwar menyasarkan kem pelarian, premis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau menyalahguna kenderaan bantuan kemanusiaan untuk tujuan ketenteraan tidak boleh menjadi norma baharu.
“Jika Israel dan sekutunya memberi tumpuan kepada penyelesaian politik dan bukannya membalas dendam dan hukuman kolektif – nyawa yang tidak bersalah akan diselamatkan,” tambah Nurul Izzah.
Tentera AS didakwa bersembunyi bersama tentera darat Israel di dalam trak yang digunakan untuk penghantaran bantuan kemanusiaan untuk menyusup ke kem yang menempatkan pelarian di Nuseirat.
Operasi berkenaan dimulakan dengan penipuan dengan menggunaan kenderaan bantuan kemanusiaan dan selanjutnya mengebom kawasan sekitar kem pelarian di Nuseirat.
Serangan berkenaan telah mengorbankan nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Sekutu Israel wajib menghormati keputusan institusi antarabangsa, menghentikan operasi ketenteraan serta pencerobohan Israel dengan serta-merta dan sepenuhnya dan membuka laluan kemanusiaan bagi menghentikan pembedilan rakyat Palestin di lapangan,” tegas Nurul Izzah.
Sementara itu, Pengerusi Ops Ihsan Jismi Johari yang turut mengutuk serangan tersebut menyifatkan sebagai satu tindakan keji.
“Sudah tiba masanya negara-negara yang menyokong Israel membuka mata dan menghentikan segala bentuk bantuan kepada rejim Zionis ini kerana mereka dengan jelas telah melanggar segala undang-undang hak asasi manusia.
“Ops Ihsan juga menyeru agar masyarakat dari segala peringkat untuk mengutarakan isu kekejaman ini lebih-lebih lagi kepada negara-negara yang menyokong Israel agar rakyat negara tersebut memberi tekanan kepada kerajaan mereka untuk bertindak,” kata Jismi.
Gaza yang kini dalam bencana kemanusiaan di mana lebih 2.3 juta orang kini berhadapan dengan kebuluran dan malnutrisi.
Israel telah membunuh lebih 36,000 penduduk Gaza dalam tempoh dalam bulan serangan dan pengepungan ke atas wilayah Palestin tersebut.-MalaysiaGazette