Tangkap layar menunjukkan suspek bertindak memukul cermin sebuah kereta di Jalan Sungai Pinang.

GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki memukul cermin sebuah kereta menggunakan topi keledar membawa padah selepas dia ditahan polis di kediamannya di Sungai Pinang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 30 an itu kini direman selama empat hari  sehingga 12 Jun ini.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada Sabtu lalu selepas pemandu kereta terbabit secara tidak sengaja melanggar motosikal suspek.

“Tidak berpuas hati dengan insiden itu, suspek mencabar pemandu kereta berkenaan untuk bergaduh.

“Pemandu kereta itu tidak mahu memanjangkan kejadian berkenaan susulan motosikal suspek tidak mengalami kerosakan serius.

“Bagaimanapun, suspek berang apabila pemandu kereta meninggal lokasi kejadian sebelum dia mengejar kereta terbabit selain memukul bahagian cermin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular satu klip video berdurasi satu minit 53 saat tular memaparkan penunggang motosikal mengejar sebuah kereta sebelum bahagian cermin kenderaan itu menggunakan topi keledar. – MalaysiaGazette