KUALA LUMPUR – Kerajaaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencari penyelesaian yang lebih komprehensif berhubung isu kewarganegaraan di Sabah.
Angkatan Muda Keadilan dan Mahasiswa Keadilan Malaysia berkata, ia perlu melibatkan pihak berkuasa, ketua masyarakat setempat, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha merangka satu pelan jangka masa panjang bagi menoktahkan isu tersebut.
“Jawatankuasa ini perlu berfungsi dalam menyediakan perancangan secara lebih tersusun serta menilai kembali perundangan, dasar dan prosedur yang sedia ada terutamanya dalam isu kewarganegaraan.
“Isu ini memerlukan penyelesaian yang bersifat lebih konstruktif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan mengutamakan pandangan masyarakat setempat khususnya rakyat Negeri Sabah. Perancangan secara tersusun haruslah dilakukan demi mencari titik penyelesaian bersama” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya kenyataan yang sama, AMK mengakui isu warga tanpa negara Bajau Laut adalah isu yang kompleks dan tidak boleh diselesaikan secara mudah.
“Namun kami berdukacita akan kes pengusiran dan pemusnahan beberapa kampung komuniti Bajau Laut yang melibatkan 273 rumah di tujuh pulau kawasan Taman Marin Tun Sakarin.
“Hal ini melibatkan 1,500 penduduk Bajau Laut. Kami melihat tindakan ini bertentangan dengan nilai manusiawi serta secara tidak langsung mencemarkan imej negara,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, pihaknya yakin penyelesaian isu kewarganegaraan adalah satu keutamaan kerajaan demi mengangkat rukun Ihsan dalam Malaysia Madani serta prinsip keadilan sosial yang dijulang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
AMK dan MKM turut percaya kerajaan sedia ada mampu membuktikan serta komited dalam mendepani cabaran selari dengan gagasan reformasi.
Untuk rekod, rata-rata masyarakat Bajau Laut adalah warga tanpa negara dalam erti kata orang yang tiada kewarganegaraan di mana-mana negara.
Anggaran aktivis lapangan, satu per tiga populasi Sabah adalah warga tanpa negara, mereka dinafikan hak kepada pendidikan, perkhidmatan perubatan, peluang pekerjaan dan pemilikan harta benda.
Semua faktor tersebut menyumbang kepada masalah sosial yang menjadi beban kepada pihak-pihak yang berkait. – MalaysiaGazette