KUALA LUMPUR – Empat maut dalam kemalangan membabitkan kereta jenis BMW dengan sebuah lori dalam kejadian di kilometer 123.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan malam tadi.
Tiga daripada mereka termasuk pemandu kereta warga tempatan serta dua wanita warga Vietnam meninggal dunia di lokasi sejurus kemalangan berlaku sekitar pukul 8.15 malam.
Seorang lagi wanita Vitenam yang juga penumpang BMW meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Bagaimanapun, setakat ini identiti kesemua mangsa yang maut masih belum diperoleh.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pukul 8.23 malam.
Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh dikerah ke lokasi sebaik menerima maklumat tersebut.
“Bomba tiba di lokasi pada 8.40 malam bersama sebuah jentera sebelum memulakan operasi menyelamat mangsa.
“Terdapat empat mangsa tersepit dalam kereta terbabit namun tiga daripadanya meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pasukan keluaran operasi (PKO) menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
Operasi tamat sepenuhnya pada 9.59 malam dan mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette