Peguam kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Fahmi Abd Moin bercakap kepada wartawan sebaik saja tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2024

PETALING JAYA – Siasatan kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin masih diteruskan bagi mencari pelaku terbabit meskipun ibu bapanya berdepan tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Peguam kepada ayah kanak-kanak autisme itu  yakin usaha demi mendapatkan keadilan terhadap kanak-kanak berkenaan tidak akan berhenti.

“Siasatan diteruskan selepas ibu bapa Zayn didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen hari ini.

“Kertas siasatan awal memang dibuka bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tapi hari ini mereka (ibu bapa Zayn) dituduh bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Terdahulu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun didakwa atas tuduhan mengabai kanak-kanak autisme itu pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Sementara itu, peguam, Mahmud Jumaat yang mewakili ibu Zayn pula berkata, pertuduhan pada hari ini adalah hasil daripda bukti yang dikumpul oleh polis.

“Ini (tuduhan pengabaian) mungkin berdasarkan bukti yang ada dan berdasarkan keterangan saksi dipanggil,” jelasnya.-MalaysiaGazette