Foto IG Bella Astilah.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Bella Astillah mengucapkan terima kasih kepada aktres Ruhainies kerana menyifatkan aktres berkenaan sudah berjaya meruntuhkan rumah tangganya dengan Aliff Aziz.

Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 30, memberi kata-kata sinis  selepas sah bercerai dengan Aliff semalam.

Tegasnya, penceraian turut memberi kesan kepada dua orang anak mereka.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada bekas sahabat, Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan masjid ini dan anak-anak kehilangan bapa mereka,” tulis di laman Instagram miliknya di sini.

Aliff melafazkan cerai talak satu terhadap Bella pada pukul 1.10 petang di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najid Wan Hamat.

Mengulas tentang perceraiana dengan Aliff, Bella juga menambah sudah berulang kali memberi peluang kepada Aliff atas kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Justeru keputusan untuk berpisah kali ini adalah yang terbaik buat mereka buat berdua dan anak-anak.

“Saya selalu percaya peluang mampu mengubah seseorang tetapi hanya jika digunakan dengan baik. Kesalahan yang dibuat berulang-ulang bukanlah satu kesilapan akan tetapi pilihan.

“Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini tapi perjuangan ini sia-sia kerana saya seorang sahaja yang berjuang,” ujarnya.

Foto IG Bella Astilah.

Bella juga berjanji tidak mahu terlalu mudah jatuh cinta dengan mana-mana lelaki lagi selepas ini.

Bagi Bella fokusnya kini adalah untuk menjaga anak-anak serta mencari kehidupan lebih baik.

“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam kerana jika berpisah lukanya pun pasti terlalu dalam.

“Doa saya agar kehidupan baru saya bersama anak-anak dipermudahkan dan saya akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk mereka.

“Tiada penyesalan, saya terima ini adalah ujian dan pengalaman hidup,” jelasnya.

Bella pada 13 Mac lalu nekad memfailkan cerai terhadap Aliff selepas pelakon itu dicekup khalwat dengan Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 9 Mac 2024.

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4 tahun.

Pasangan ini pernah bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali berlaku curang namun kembali rujuk ketika dalam tempoh idah. – MalaysiaGazette