GUA MUSANG – Mayat seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia tujuh tahun yang dipercayai hilang dekat Sungai Nenggiri di Kampung Kuala Betis, di sini, semalam, ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, Syamley Nur Aleh Qarni Sham ditemukan 1.8 kilometer dari tempat kejadian dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa pada 12.05 tengah hari.
“Mayat ditemukan tersangkut pada dahan kayu di dasar sungai dan berada dalam keadaan sempurna oleh penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Syameley Nur Aleh Qarni yang menetap di Selangor pulang untuk beraya di Kampung Setawar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini.
Mangsa dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama tiga sepupunya di Sungai Brooke di belakang rumah neneknya. – Bernama