kredit: FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebajikan dan kemudahan anggota keselamatan diberi keutamaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi telah mewakili beliau melakukan lawatan mengejut ke Balai Polis Beserah di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau telah meminta Ahmad Farhan meninjau keadaan infrastruktur dan fasiliti asas di balai itu untuk memberi keselesaan kepada para petugas.

Pada 15 Julai 2023, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Penjara di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM45 juta diluluskan untuk pembaikan dan perolehan 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am, RM40 juta untuk infrastruktur berkaitan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCom) dan RM50 juta bagi penyelenggaraan kuarters PDRM.

Semasa pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera Malaysia serta membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk PDRM. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here