KUALA LUMPUR – Di sebalik kejayaan serta kesenangan hidup yang dikecapi penyanyi dan usahawan, Mila Jirin hari ini ini, ternyata banyak pengorbanan yang perlu dilakukannya sebagai anak sulung.
Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin mendedahkan, kehidupan keluargannya begitu daif suatu ketika dahulu sehingga kedua-dua ibu bapanya perlu bekerja dari siang hingga malam demi mencari rezeki biarpun ada kala pendapatan diterima tidak seberapa.
“Keluarga saya sangat daif dahulu. Ayah tidak ada kerja tetap, sebelum ini hanya kerja kampung di siang hari dan malam ayah main muzik. Ayah kerja macam-macam termasuk kerja kampung, main muzik, melukis dan cari barangan terpakai untuk dijual semula.
“Mak pula kerja kilang. Hidup susah adalah perkara normal yang saya lalui. Makan nasi dengan minyak ikan itu biasa, makan nasi dengan air garam itu biasa. Teman ayah menjala ikan di laut tengah malam dan tunggu dalam gelap di pantai.
“Rumah tanpa elektrik hanya lampu gaselin menemani kami. Bumbung rumah bocor bila hujan lebat mesti penuh dalam rumah dengan baldi atau periuk. Sebagai kakak sulung waktu itu dah boleh berfikir dan menyaksikan pengorbanan mak ayah dalam membesarkan kami adik beradik,” kata juara Akademi Fantasia musim kelima.
Melihat kesusahan dialami keluarga, Mila, 36, yang ketika itu sudah menginjak usia 19 tahun bertekad mahu mencari jalan keluar termasuk mengambil penuh tanggungjawab sebagai anak sulung demi mengubah nasib dirinya bersama keluarga.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, sebagai anak sulung, dia sanggup berkorban apa sahaja demi membantu memberi kehidupan yang lebih baik buat keluarganya.
“Saya korban apa sahaja untuk keluarga dan Alhamdulillah di usia 19 tahun saya sudah menggalas tanggungjawab menjaga mak, ayah dan adik-adik serta menjadi ketua keluarga. Saya minta mak ayah berhenti kerja.
“Sebenarnya, bila sekarang ini saya lihat semula, setiap apa ujian yang Allah berikan buat kami sekeluarga adalah untuk membuatkan kami jadi lebih kuat, membuatkan saya jadi kuat untuk berjuang.
“Waktu susah, hinaan dari orang sekeliling itu adalah perkara biasa yang kami terima, tetapi kata-kata hinaan itulah yang membuatkan saya memberontak untuk keluarkan keluarga dari kesusahan.
“Ketika usia saya 21 tahun, dengan izin Allah, saya dapat tunaikan janji dengan diri sendiri untuk hadiahkan sebuah rumah kepada mak ayah dan adik-beradik,” kata isteri kepada Ahmad Ailis Mohamed Mustapha.
Lantaran itu, Mila mahu mengabadikan kisah berkenaan menerusi cerita pendek berjudul Kakak yang juga karya istimewa sempena Hari Raya Aidiladha dan telah ditayangkan di semua platform media sosial Bizmilla Wedding Centre dan Mila Jirin bermula semalam.
Kakak adalah sebuah cerita tentang pengorbanan seorang kakak yang menyaksikan kesukaran emak dan ayah dalam membesarkan anak-anak dan mencari rezeki demi keluarga.
Kisah ini menceritakan pengalaman sebenar hidup Mila sebagai kakak sulung yang memahami kesukaran ibu bapanya dan disebabkan itu beliau membuat keputusan besar dalam hidup walaupun ia amat sedih.
Dengan keputusan itu, dia tetap berkorban demi membantu keluarga mencari rezeki bersama ibu bapanya dalam membesarkan adik-beradik.
“Tujuan utama penghasilan cerita pendek Kakak adalah untuk memberi inspirasi kepada semua bahawa di sebalik setiap kesulitan pasti ada kemudahan.
“Kesulitan yang kita hadapi adalah yang mengajar kita erti kehidupan sebenar dan menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat untuk berjaya,” jelas anak kelahiran Pulau Pinang ini.
Cerita pendek itu ditulis oleh Mila dan diterbitkan pasukan media dari Bizmila sebagai karya istimewa sempena Aidil Adha selain diarahkan oleh Wan Ahmad Adlan serta dibantu oleh Hayati Hashim.
Mila juga meluahkan rasa gembira kerana ibu iaitu Reena Haron serta bapanya, Jirin dan adik serta anak buahnya turut bersetuju untuk bersama-sama dalam menjayakan penggambaran ini.
Dengan penglibatan mereka, ia telah memberikan kesan yang lebih mendalam kepada penghayatan serta penyampaian cerita ini.
“Kami berharap sedikit input dari cerita pendek tentang kehidupan kami ini dapat memberikan suntikan semangat terutama kepada mereka yang sedang diuji Allah dengan kesempitan kehidupan, masalah kewangan, dan dalam perjuangan membesarkan anak-anak.
“Perkara penting yang saya pelajari dalam kehidupan saya adalah ‘Milik kita manusia adalah usaha, hasil dan keputusan adalah milik Allah’ kerana Allah maha tahu yang terbaik buat hamba-Nya,” tambah Mila
Mila yang kini merupakan usahawan yang berjaya menjadi wanita pertama memenangi Akademi Fantasia selepas empat tahun dimenangi oleh peserta lelaki pada usia 19 tahun. – MalaysiaGazette