Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden Master Builders Association Malaysia, Oliver Wee berkata, kos pembinaan dianggarkan meningkat sebanyak dua peratus kerana alat pengangkutan dalam sektor pembinaan tidak menerima subsidi diesel.

Beliau berkata kepada China Press, jika kos pembinaan satu projek adalah RM1 juta, maka ia dijangka akan naik kepada RM1.02 juta.

Jelasnya, walaupun kadar kenaikan dua peratus nampak tidak signifikan, tetapi ia membabitkan jumlah wang yang besar memandangkan kontrak pembinaan adalah  bernilai yang tinggi.

Berkenaan hujah bahawa kenaikan harga sektor pembinaan sebagai menyalahi peraturan kerana bidang tersebut sebelum ini pun tidak menerima subsidi diesel, Oliver berkata, ramai orang mungkin tidak sedar perbezaan antara kadar Industri dan kadar komersial.

Katanya, diesel yang digunakan dalam tapak binaan sebelum ini adalah dibeli menggunakan kadar industri.

“Walau bagaimanapun, lori yang mengangkut bahan binaan seperti batu, pasir dan bata membeli diesel mengikut kadar komersial pada RM2.15 sebelum ini. Pengusaha pengangkutan ini bagaimanapun tidak lagi menikmati subsidi diesel.

“Dengan kenaikan kos pengangkutan bahan-bahan binaan, ia pastinya akan menjejaskan keseluruhan kos binaan,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, kadar industri diesel pada masa ini adalah RM3.10 seliter, tetapi dijangka naik selepas kadar komersial dinaikkan kepada RM3.35 seliter.

Susulan pengapungan harga diesel di pasaran, Oliver berharap pemaju dan kontraktor dapat memaktub terma perubahan harga (variation of price) dalam perjanjian.

Jelasnya, dengan terma tersebut, maka kontraktor dapat mengubah sedikit kos binaan.

“Mungkin ramai yang berpendapat ini hanya menguntungkan kontraktor, tetapi sebenarnya ia juga menjamin kepentingan pemaju.

“Tanpa terma ini, kontraktor mungkin tidak mampu menyerap kos jika pemaju enggan menyelaras harga apabila kos binaan melonjak.  Akhirnya, kontraktor mungkin menamatkan kontrak sekali gus menjejaskan pemaju dan juga pembeli hartanah.

“Apabila satu projek terhenti, pembeli rumah tidak dapat menerima kunci tepat pada masanya manakala pemaju juga perlu berbelanja lebih untuk mencari kontraktor baharu,” katanya. – MalaysiaGazette