Gambar Fail: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Republik Rakyat China, Li Qiang, di Great Hall of the People, Beijing, 1 April 2023. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Republik Rakyat China Li Qiang akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga 20 Jun.

Wisma Putra berkata, ini merupakan lawatan pertama beliau sebagai Perdana Menteri Republik Rakyat China ke Malaysia.

Lawatan beliau juga adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Tun Abdul Razak dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Li dijadual akan mengadakan Kunjungan Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Perdana Menteri Republik Rakyat China itu juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Pertemuan itu juga akan menjadi medan untuk kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Anwar dan Li juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama.

Ini termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.

Kedua-dua pihak juga akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50.

Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.

Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi lima belas tahun berturut-turut dari tahun 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (USD98.90 bilion).

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013.-MalaysiaGazette