KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan pada 21 hingga 23 Jun ini susulan permohonan yang dibuat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dengan penggunaan dana sebanyak RM5 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah meluluskan penggunaan dana itu dari Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).
Katanya, pelaksanaan itu dilakukan melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“OPA adalah tindakan awal yang dilakukan kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta monsun barat daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.
“Malah, taburan hujan yang rendah yang dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini telah menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta menggangu operasi pam di seluruh kawasan KADA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, operasi yang akan dilaksanakan selama tiga hari itu diharap akan meningkatkan paras air Sungai Kelantan supaya dapat mengairi kawasan-kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.
Ujarnya, bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.90 meter, tetapi KADA hanya merekodkan aras air sungai Kelantan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April 2024 lalu.
“Usaha ini diharap dapat segera memberikan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering, khususnya di negeri Kelantan.
“Saya juga berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan ini dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.
“Saya juga telah menyarankan pihak NADMA dan KPKM untuk melaporkan perincian hasil operasi pembenihan awan ini pada 23 Jun 2024 nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette