Dr Joohari Ariffin (kiri) dan Abidin Ismail.

PILIHAN raya kecil (PRK) Sungai Bakap dilihat ujian penting bagi PKR dan Pas.

Kali ini kesetiaan para penyokong mereka bakal diuji apabila kedua-dua parti kembali merebut kerusi berkenaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih – 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri daripada Pas pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudinnya menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai ini.

Pakatan Harapan (PH) memilih bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, daripada PKR manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon.

Kedua-duanya anak jati Sungai Bakap.

Joohari sebagai bekas penjawat awam manakala Abidin pula orang kanan kepada mantan ADUN dan aktif kerja kemasyarakatan.

Walaupun mungkin ada calon bebas bertanding namun ia dilihat pentas utama pertembungan PH dan PN.

Atas kertas, mood kemenangan PRK Kuala Kubu Baharu memberi kelebihan kepada PH.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan PH adalah parti pemerintah pusat dan negeri.

Selain itu, sudah barang tentu PKR ingin merampas kembali kerusi yang dimenangi selama tiga penggal dari 2008 sebelum ia terlepas ke tangan Pas pada PRN Ogos lalu.

Pas pula sudah tentu mahu mempertahankan kerusi itu.

Perlu diingat, majoriti majoriti 1,563 undi bukan menjadikan DUN Sungai Bakap kubu kuat Pas kerana dengan kelebihan PH sekarang, ia bisa mengubah kawasan hitam menjadi kelabu.

PRK Sungai Bakap juga menjadi pentas menguji sokongan kaum Melayu kepada Pas dan PKR.

Jika PH menang, ia menjadi perintis jalan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 kelak.

Cuma, kali ini ramai melihat PRK Sungai Bakap dijadikan kempen mengkritik kerajaan yang baru sahaja melaksanakan penyasaran subsidi diesel.

Isu nasional lain juga akan menjadi modal kempen dan bukan laluan mudah kepada PH untuk menangani naratif berkenaan.

Jelas PRK Sungai Bakap bukan pertembungan individu, ia bakal menjadi medan isu nasional antara parti pemerintah dan pembangkang. – MalaysiaGazette