SEREMBAN – Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kepentingan masyarakat Orang Asli dijangka dibentang di Parlimen selewat-lewatnya pada 2027.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, setakat ini, proses libat urus bersama masyarakat Orang Asli dan badan bukan kerajaan sedang giat dijalankan dan mendapat maklum balas yang positif.
Beliau berkata, libat urus pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi kepentingan masyarakat Orang Asli setakat ini dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang Barat, Perak dan Kedah.
“Selepas selesai semua libat urus, perkara ini akan di bawa kepada Perdana Menteri dan seterusnya, paling lewat (dibentangkan di Parlimen) sebelum penggal ke-15 ini tamat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) serta Penyerahan Inisiatif Geran JPKKOA Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu akan melibatkan dua perkara.
“Dalam pindaan ini dicadangkan tanggungjawab menjaga Orang Asli diletakkan dalam jadual bersama iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri kena jaga sebab banyak isu seperti tanah, perhutanan dan kebajikan Orang Asli.
“Kita juga melihat Perkara 153 iaitu kepentingan masyarakat dan bumiputera peribumi Sabah dan Sarawak namun tidak dimasukkan Orang Asli, jadi saya cadangkan untuk pindaan ini,” katanya. – Bernama