Dong Zong

JOHOR BAHRU – Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim berkata, pihak sekolah harus berpada-pada dalam mengadakan lawatan ke luar negara yang memakan belanja yang besar.

Beliau tidak menolak kebaikan rombongan ke luar negara, tetapi berpendapat apa yang penting adalah tidak membebankan ibu bapa.

Menurutnya, walaupun rombongan ke luar negara sesuatu yang baik untuk memperluaskan pandangan dan pengalaman, tetapi pihak sekolah juga boleh memilih untuk melawat destinasi tempatan.

Beliau dipetik Sinchew Daily sebagai berkata, sekiranya rombongan ke luar negara adalah terlalu mahal, maka pihak berkenaan boleh mencari penaja.

Tai Kim berkata demikian sebagai mengulas rombongan sekolah rendah ke luar negara yang dikatakan mahal dan membebankan ibu bapa.

Sinchew Daily melaporkan,  empat sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Johor Bahru telah dan akan mengadakan rombongan sambil belajar ke China.

Salah satu rombongan ke Henan dilaporkan memakan belanja RM4,888.

Sebelum ini, sebuah sekolah di Johor Bahru mengadakan rombongan ke Yunnan, juga dengan harga RM4,888 seorang murid.

Netizen mempertikaikan lawatan tersebut kerana berpendapat murid-murid tidak perlu keluar negara untuk menimba ilmu. – MalaysiaGazette