JOHOR BAHRU – Lapan individu dipercayai terlibat sindiket penyeludupan senjata api dan pengedaran dadah diberkas susulan kejadian dua penjenayah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Taman Abad, di sini, pada 14 Jun lepas.
Ketua Polis Johor, CP M Kumar berkata, penahanan dilakukan di inap desa dan pangsapuri di sekitar Wadihana, Kempas Utama dan Taman Abad, di sini, iaitu pada hari sama kejadian tembakan berlaku.
Beliau berkata, lapan individu itu terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga asing, kesemuanya berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Polis turut merampas tiga pistol, empat objek menyerupai pistol, 141 peluru hidup, pisau, gari dan pelbagai peralatan polis selain bahan disyaki dadah serta kad kuasa polis palsu.
“Kad kuasa polis itu atas nama seorang daripada suspek (penjenayah) yang ditembak mati. Mereka dipercayai menggunakan kad kuasa polis itu untuk aktiviti penyeludupan senjata api dan pengedaran dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kumar berkata, tiga daripada tujuh warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, manakala tiga lagi mempunyai rekod dadah.
Beliau berkata, seorang daripada penjenayah berusia 42 tahun yang maut ditembak sebelum ini dipercayai merupakan ketua sindiket itu.
Menurut Kumar, secara keseluruhan enam pistol, 167 peluru hidup serta dadah bernilai RM96,082 berjaya dirampas menerusi kejadian tembakan dan serbuan yang dilakukan.
“Dadah dirampas antaranya ialah syabu seberat 99.76 gram (g), ganja (1,126.13g), pil ekstasi (249.88g), pil yaba (198.61g), pil eramin 5 (50.50g), serbuk ekstasi (50.49g) dan heroin (49.66g),” katanya.
Kejadian dua penjenayah berusia 42 dan 40 tahun yang maut ditembak itu berlaku ketika mereka diekori sepasukan polis daripada Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Dalam kejadian pada 5.04 petang itu, penjenayah terbabit yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima bertindak melepaskan tembakan selepas menyedari diekori dan insiden berbalas tembakan berlaku sehingga kedua-duanya terkena tembakan dan maut di lokasi kejadian. – Bernama