LONDON – Pakar perpindahan bola sepak Fabrizio Romano melaporkan legenda Manchester United, Ruud van Nistelrooy semakin hampir untuk kembali ke kelab itu sebagai pembantu kepada Eric Ten Hag.
Menurut Romano, Nistelrooy dilaporkan menolak tawaran untuk menjadi pengurus di Burnley di mana bekas penyerang United itu dilaporkan lebih cenderung untuk melatih bekas kelabnya.
Dia juga mendedahkan bahawa Ten Hag adalah individu yang meminta pihak pengurusan kelab untuk mendapatkan Van Nistelrooy kerana pengurus United itu dilaporkan memerlukan staf tambahan dalam barisan kejurulatihannya.
Nistelrooy dianggap sebagai pilihan yang sempurna kerana memiliki berpengalaman menjadi pengurus selain ikon yang disegani dalam skuad United.
Setakat ini proses rundingan ini berjalan dengan cepat dan tanpa masalah di mana sekiranya berjalan lancar Van Nistelrooy berpotensi menyertai United sebelum pramusim.
Skuad United akan berkumpul di Carrington minggu depan untuk memulakan sesi pramusim mereka.
Perlawanan pertama mereka akan diadakan di Stadium Lerkendal, di mana mereka akan menentang Rosenberg pada pertengahan Julai ini.
Sebagai rekod, Nistelrooy telah menjaringkan 150 gol dalam 219 perlawanan untuk United.
Dia sebelum ini merupakan pengendali kelab Belanda iaitu PSV Eindhoven menggantikan Roger Schmid.
Nistelroy yang bersara daripada bermain pada tahun 2012 selepas bersama Malaga di La Liga, sudah melatih skuad bawah 19 dan 21 tahun PSV sejak tiga musim lalu.
Nistelrooy turut meledak 62 gol dalam 67 perlawanan untuk PSV dari tahun 1998 hingga 2001.
Van Nistelrooy, 47, yang turut meledak 35 gol dalam 70 penampilannya untuk Belanda, menyertai barisan kejurulatihan Belanda di bawah Frank de Boer ketika Euro 2020. – Agensi