Sharifah Zakiah (tengah) memeriksa buangan elektrik dan elektronik haram di sebuah kilang di Kuala Muda, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Kira-kira 350 tan bahan buangan elektrik dan elektronik haram disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi satu operasi bersepadu ke atas senyah kilang di Kuala Muda di sini hari ini.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis tersebut disyaki menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan e-waste tanpa kelulusan yang  berpotensi menyebabkan pencemaran alam sekitar lain seperti pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran udara dan pencemaran air.

Kata beliau, pihaknya telah menjalankan risikan selama dua bulan dan siasatan awal mendapati buangan tersebut disyaki diimport dari luar negara.

“Kedudukan premis yang berada dalam kawasan ladang kelapa sawit dan berpagar tinggi juga didapati menyembunyikan aktiviti itu daripada pandangan awam.

Kesemua barang buangan itu dipercayai diimport dari luar negara.

“Pemilik kilang telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti tersebut tanpa kelulusan dan tanpa sebarang alat kawalan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 18(1), Seksyen 34A(1) dan Seksyen 34B(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam operasi sama, seramai 10 pekerja warga asing iaitu seorang wanita dari China dan sembilan lelaki warga Bangladesh turut ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Operasi tersebut membabitkan 45 pegawai dan anggota dari JAS Kedah bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Media semalam melaporkan Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang berkuat kuasa mulai 7 Julai 2024 memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam termasuk pengimportan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) haram.

Menurut Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, pindaan berkenaan sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan sedang dalam proses pewartaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here