Annuar Musa. Foto MUHD NA’IM, 15 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menjangkakan 11 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) kelak.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, tindakan itu akan berlaku sekiranya enam kerusi Parlimen PN yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diisytiharkan kosong.

“Sebaik saja Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) menfatwakan enam kerusi tidak kosong, dijangka 11 ahli Parlimen BN akan mengikut jejak yang sama dengan mengisytiharkan sokongan kepada calon PM ke 11, tunggu,” katanya di Facebook malam ini.

Annuar mengulas keputusan yang dijangka diumumkan Johari selepas menerima notis pengosongan enam kerusi berkenaan dariada Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Ronald Kiandee minggu ini.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu bagaimanapun tidak memperincikan 11 ahli Parlimen BN yang akan bertindak menyokong PN.

Johari di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, beliau akan membuat keputusan berhubung perkara berkenaan dalam tempoh 21 hari.

Terdahulu, surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaannya terhadap parti yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pada 1 Jun lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak 25 ahli Parlimen dan 58 ahli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ini bermakna, enam Ahli Parlimen yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Anwar  tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti yang diarahkan Bersatu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Pada minggu lalu,  Speaker Dewan Undangan negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here