Zayn Rayyan Abdul Matiin

KUALA LUMPUR – Gambar kecederaan yang didakwa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin disebarkan di Telegram.

Gambar bertarikh 7 Disember 2023 berkenaan memaparkan tangan dan telinga ketika sesi proses bedah siasat.

Foto tangan menunjukkan dua kesan kelar manakala telinga pula memperlihatkan kesan dicederakan menggunakan peralatan tajam.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila tangkap layar maklumat siasatan kes Zayn Rayyan tersebar.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, sekiranya ia kertas siasatan yang benar, pihak yang menyebarkannya perlu diambil tindakan berikutan kes berkenaan akan dibicarakan di mahkamah.

“Tindakan pihak-pihak tertentu memasukkan perkara seperti ini (kertas siasatan) dalam Telegram umpamanya, tidak diketahui sama ada maklumat itu (kertas siasatan) betul atau tidak, sama ada direka atau dibuat-buat,”katanya.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman di Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu kemudiannya ditahan pada 31 Mei lalu di sekitar Puncak Alam, Selangor dan direman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Ibu dan bapa kanak-kanak tersebut dilaporkan didakwa di mahkamah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here