MRSM mencatatkan peningkatan pencapaian mendadak pada SPM 2024. - Foto: FB Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa bangga dengan pencapaian memberangsangkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Menurut beliau, pencapaian SPM 2024 MRSM secara keseluruhannya meningkat secara mendadak dengan gred purata (GP) keseluruhan naik kepada 1.892 berbanding 2.392 tahun sebelumnya.

Selain itu, katanya, sebanyak 10 MRSM mencatatkan prestasi cemerlang dengan GP di bawah 1.50 pada SPM 2924 berbanding hanya sebuah MRSM dengan pencapaian berkenaan tahun sebelumnya.

“Sebanyak 31 MRSM mencatatkan pencapaian luar biasa dengan GP di bawah 2.00 (SPM 2024), berbanding hanya sembilan MRSM dengan pencapaian berkenaan pada tahun lalu (2023),” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Sementara itu, tambah Asyraf Wajdi, seramai 1,670 daripada 7,650 pelajar MRSM iaitu 21.83 peratus memperoleh gred semua A (A+, A dan A-).

Katanya, ia merupakan peningkatan pelajar yang mendapat A semua mata pelajaran berbanding 1,131 calon MRSM pada SPM 2023.

Selain itu, tambahnya, seramai 69 pelajar mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh keputusan semua A+ (10A+ dan 9A+) dalam semua subjek yang diambil.

Ujarnya, seramai lapan pelajar pula memperoleh 10A+ manakala 61 pelajar memperoleh 9A+ iaitu peningkatan berbanding 50 pelajar pada tahun lepas.

“Tahniah juga buat MRSM Beseri dan MRSM Balik Pulau yang menunjukkan peningkatan GP tertinggi dengan masing-masing menunjukkan lonjakan GP sebanyak 1.408 dan 1.171,” katanya.

Sementara itu, ujar beliau, semua subjek teras dan elektif yang diambil oleh calon MRSM pada SPM 2024 juga menunjukkan peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) kecuali subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrikal.

“Insya-Allah MARA akan terus memperkasakan lagi kualiti dan pencapaian akademik semua MRSM, tanpa sesekali meninggalkan aspek-aspek pembangunan insan yang lain termasuk matlamat melahirkan generasi Ulul-Albab yang cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast