Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR –  Bermula tahun ini, pelajar semua kaum yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak memasuki pengajian awam lebih tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan terbaharu yang dicapai oleh Jemaah Menteri pada minggu lalu terpakai untuk semua kaum.

Dalam masa yang sama, beliau memberi jaminan dasar kuota untuk bumiputera akan terus dikekalkan.

“Kalau ada anak-anak kita mencatat kejayaan 10A dan lebih, keputusan yang kita anggap cemerlang maka keputusan kita tanpa berkecuali semua mereka harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan.

“Semua 10 A semua kaum layak masuk program matrikulasi kita juga akan teruskan dan pertahankan dasar kuota bumiputera sedia ada untuk jamin yang ada anak-anak di pedalaman, di pinggir bandar dan desa. Saya rasa ini akan mengiktiraf mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kemuncak dan Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Bukit Jalil hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

Jelas Anwar, keputusan tersebut dibuat bagi menangani isu mengenai pertikaian terhadap pelajar SPM dalam kalangan kaum bukan Melayu yang tidak mendapat peluang menyambung pelajaran.

Beliau berkata, perincian mengenai keputusan terbaharu kerajaan itu akan diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek esok.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu tersebut tidak patut dihangatkan dengan niat mewujudkan kebencian dalam negara.

“Jangan kata ini dasar menindas, jangan begitu. Ia tidak menguntungkan, ia hanya menghangatkan suhu politik dan mewujudkan kebencian dan tidak menyelesaikan (masalah).

“Bukan dengan tanam kebencian atau menunjukkan permusuhan tapi penyelesaiannya harus melalui semangat ehsan dan kasih sayang dan kesatuan dalam negara berlandaskan kemanusiaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.