C. Sivarraajch
C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan sudah memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi namun ia perkara itu masih mengundang kebimbangan.

Menurut Ahli Dewan Negara, Datuk C Sivaraj, walaupun inisiatif ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada semua pelajar cemerlang namun dikhuatiri pelajar dalam kalangan kaum India akan terpinggir.

Ini kerana, secara realiti, populasi pelajar bukan bumiputera khasnya pelajar Cina, jauh lebih ramai berbanding pelajar India.

“Ini bermakna, daripada 10 peratus kuota yang diperuntukkan kepada bukan bumiputera, majoritinya akan dikuasai oleh pelajar Cina, meninggalkan sedikit ruang untuk pelajar India.

“Kebimbangan itu tercetus kerana pelajar India sebelum ini juga sukar untuk mendapatkan tempat di matrikulasi, dan kini keadaan akan bertambah sukar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lantaran itu, beliau memohon supaya kuota khas sebanyak 2,500 tempat diperuntukkan kepada pelajar India untuk mengikuti program matrikulasi.

Jelasnya, langkah ini adalah perlu untuk memastikan pelajar India tidak terus terpinggir dan mendapat peluang yang setara dalam pendidikan tinggi.

“Pelajar yang mendapat 10A ke atas mempunyai banyak pilihan seperti tawaran UPU, asasi, biasiswa, dan lain-lain. Namun, bagi pelajar yang mendapat 6A hingga 9A, matrikulasi merupakan platform yang mudah bagi mereka untuk memasuki universiti, khususnya ke kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, dan farmasi.

“Inilah tujuan utama matrikulasi dibuka kepada bukan bumiputera ketika zaman Barisan Nasional. Kebanyakan pelajar India mengambil 9 subjek sahaja.

“Jika mereka tidak mengambil bahasa Tamil dan kesusasteraan Tamil, maka wajarlah kerajaan mempertimbangkan pelajar dari kategori 6A hingga 9A selepas permohonan pelajar dengan 10A diberi tempat.

“Saya harap sangat kerajaan akan pertimbang permintaan ini dengan serius dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan keadilan dan kesamarataan dalam sistem pendidikan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here