Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG – Polis telah menahan seorang lelaki remaja selepas disyaki terlibat dalam jenayah aktiviti perjudian pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Euro 2024.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek seorang warga tempatan berusia 19 tahun telah ditahan menerusi Ops Saga X hari ini.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Sunway telah membuat serbuan ke atas sebuah akfe di Bandar Sunway di sini pukul 12.50 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan berjaya membawa kepada tangkapan suspek remaja berkenaan. Polis turut berjaya merampas telefon bimbit milik remaja berkenaan kerana mempunyai aktiviti perjudian Piala Euro 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, remaja itu kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Beliau berkata, polis setakat ini melakukan sebanyak lapan serbuan di daerah itu bermula 14 Jun lalu sehingga semalam menerusi Ops Saga X sejak Piala Euro 2024 dimulakan.

“Hasilnya polis berjaya membuat tangkapan ke atas tujuh lelaki dan seorang wanita pelbagai bangsa berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun sepanjang tempoh itu.

“Polis turut merampas sembilan telefon bimbit pelbagai jenama yang mempunyai aktiviti perjudian catit taruh Euro 2024 daripada kesemua suspek,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) dan kesalahan imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Polis turut menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan judi tanpa lesen sah dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast