Steven Sim menyantuni pekerja Gig pada majlis Meraikan Peluncuran Tajaan Perkeso kepada E-Hailing dan P-Hailing Zon Utara di Nibong Tebal Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membentangkan kertas dasar berhubung penambahbaikan kajian kebolehlaksanaan Suruhanjaya Pekerja Gig kepada Kabinet bulan ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pembentangan tersebut akan dibuat dalam tempoh masa satu atau dua minggu lagi.

Jelas beliau, pihaknya telah membentangkan kajian awal kepada jemaah menteri bulan lalu bagi mendapatkan maklum balas, selain sesi libat urus bersama wakil pekerja dan pihak pengendali platform perkhidmatan.

“Kita boleh beri perlindungan kepada pekerja gig terutama menerusi tiga aspek utama.

Steven Sim.

“Satu, daripada segi pampasan upah yang lebih baik, kedua dari segi perlindungan keselamatan sosial dan ketiga daripada segi mekanisme kilanan.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri sekiranya melibatkan sebarang pindaan atau penggubalan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Meraikan Peluncuran Tajaan Perkeso kepada E-Hailing dan P-Hailing Zon Utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut Steven berkata, pekerja gig tidak termasuk dalam definisi pekerja dalam akta kerja dan tidak tertakluk kepada Akta Kerja 1955.

“Sehubungan itu, kita akan melihat semula apakah definisi terbaik menklasifikasikan golongan pekerja gig pada masa akan datang.

“Apa yang Kesuma lakukan adalah kita letak benchmark negara-negara serantau yang mempunyai undang-undang atau garis panduan serupa dan amalan terbaik di serata dunia,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera di Putrajaya mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja sektor itu.

Tumpuan terarah kepada bagi memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya pekerja. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here