KUALA LUMPUR – Anak perempuan kepada Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak menolak permohonan Najib Razak untuk memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan berhubung titah adendum.
Dalam aplikasi Instragram miliknya, Nooryana meluahkan rasa sedih itu dengan berkata ianya hanyalah ‘khabar angin’.
“Semuanya sekadar ‘khabar angin’,” katanya hari ini.
Awal hari ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan berhubung titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke 16 yang membolehkannya menjalani tahanan di rumah.
Hakim, Datuk Amarjeet Singh berpendapat, tidak wujud kes boleh dipertikai yang memerlukan semakan kehakiman didengar.
Ia termasuk afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bekas Perdana Menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.
Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette