Antara etnik Arakan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Kluang, Rabu lalu dalam serbuan yang dilakukan pihak Imigresen

JOHOR BAHRU – Satu sindiket mengaut untung dengan menawarkan RM5,000 untuk kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) tumpas selepas Jabatan Imigresen Johor melakukan serbuan di sebuah rumah kedai di Kluang Rabu lalu.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kegiatan sindiket  sejak enam tahun lalu itu terbongkar menerusi Ops Serkap, yang dijalankan pada jam  11.30 pagi, hasil risikan dan pemantauan selama dua hari.

Menurutnya, empat yang ditahan itu merupakan tiga lelaki dan seorang wanita termasuk dalang sindiket itu iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun.

Dengan kad UNCHR palsu itu  PATI etnik Arakan dari Myanmar diberi jaminan akan lebih selamat untuk tinggal dan bekerja lebih lama di Malaysia.

“Turut ditemui tiga lagi etnik Arakan yang dikurung dalam sebuah bilik di tingkat dua berusia 35 hingga 49 tahun. Mereka tidak dibenarkan keluar dan kunci dipegang dalang sindiket berkenaan.

“Mereka dipercayai telah sampai ke premis itu sejak dua minggu lalu melalui jalan tikus. Mereka dikurung kerana belum mendapat pekerjaan.

“Mereka diarahkan menunggu dalam premis sehingga ada majikan yang akan mengambil mereka bekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, menerusi operasi itu pihaknya merampas dua naskah pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan, sebuah telefon pintar jenama Oppo, helaian Borang Pendaftaran UNHCR dan wang tunai berjumlah RM15,855

Sasaran utama sindiket itu katanya, adalah etnik Arakan yang datang ke Kluang untuk bekerja namun mempunyai masalah dokumen perjalanan.

Katanya, mereka ditawarkan kad UNHCR dengan caj bayaran RM5,000 yang dikeluarkan sindiket yang kononnya akan membolehkan mereka tinggal dan bekerja di negara ini.

“Sindiket ini hanya tertumpu kepada etnik Arakan maka sindiket ini tidak mendapat perhatian daripada etnik yang lain,” katanya.

Mohd Rusdi berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak UNHCR untuk mendapatkan maklumat lanjut memandangkan terdapat logo UNHCR pada kad berkenaan.

Tambahnya, semua suspek warga Myanmar disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Kata Mohd Rusdi lagi, suspek yang juga ejen sindiket itu turut disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670)

“Berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0, semua mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here